Tuesday, September 30, 2008

Pertandingan Testimoni :Pengalaman Saya Dalam Kejayaan Penyusuan Ibu- Kategori Bapa


Gambar ini diambil ketika penyampaian hadiah kepada pemenang hadiah utama (Grand Prize) Kategori Bapa kepada Toh Chee Leong oleh Y.B Datin HajahFatimah Abdullah, Menteri Muda Di Pejabat Ketua Menteri (Sumber Manusia) dan Menteri Muda Pertanian (Ekonomi rumahtangga dan Latihan), Sarawak bersempena Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia Peringkat Negeri Sarawak Di Bahagian Sibu pada 1.8.2008.


Kategori B : Untuk Bapa


Pengalaman Saya Dalam Kejayaan Penyusuan Ibu


Melalui penyusuan susu ibu, perhubungan keluarga itu berterusan menjadi bertambah erat dengan sokongan dari suami dan anggota keluarga. Dengan cara ini, penjagaan anak akan menjadi tanggungjawab yang dikongsi bersama oleh setiap anggota keluarga. Ini akan mewujudkan keluarga yang gembira, harmoni serta satu persekitaran yang baik untuk anak itu membesar, menerima kasih sayang dan perlindungan yang sama rata.


Kasih sayang seorang ayah memang amatlah diperlukan dan ini dapat meringankan beban buat si ibu terutama dalam menjalani bulan-bulan selepas kelahiran. Saya merasakan kemesraan yang wujud ketika penyusuan dan berpeluang berkongsi pengalaman, saat-saat indah dan istimewa bersama bayi saya.


Namun hakikatnya, banyak lagi peranan yang dapat dimainkan oleh ayah bagi menyempurnakan curahan kasih sayang terhadap si anak. Selepas bayi selesai menghisap susu ibu, saya mengambil alih tugas menyendawakan bayi. Bila peruknya sudah kenyang pasti ada ‘hasil’ yang dikeluarkan dan saya boleh membantu membersihkan.


Tempoh cuti ‘Paternity’ yang diberikan itu saya tidak sia-siakan. Saya mengambil peluang ini sepenuhnya untuk mengenali anak saya. Saya tidak biarkan isteri keseorangan mengendalikan segalanya tentang si anak. Pada hari-hari bekerja yang lain, saya cuba pulang ke rumah seawal yang mungkin untuk sama-sama melalui hari-hari awal membesarkan anak.


Untuk ibu-ibu bekerja yang menyusukan bayi mereka secara eksklusif lazimnya akan memerah susu mengikut sukatan yang diperlukan oleh bayi. Susu tersebut diperah setiap hari dan dijadikan simpanan untuk penggunaan pada masa hadapan. Setiap susu yang diperah akan disimpan dalam satu bekas dan dilabelkan dengan tarikh dan waktu perahan. Dengan cara ini, mereka akan dapat tahu sehingga bilakah susu tersebut boleh digunakan. Walaupun tanpa isteri di sisi, anak saya masih boleh minum susu ibunya.


Antara cara-cara saya lakukan untuk menyokong kejayaan penyusuan susu ibu ialah
Langkah 1: Keluarkan susu yang telah dibekukan dari peti sejuk berdasarkan pada tarikh susu yang paling awal diperah.


Langkah 2: Untuk mencairkan susu yang telah dibekukan, letakkan bekas yang mengandungi susu perahan tersebut di bawah aliran air paip yang perlahan. Pastikan susu cair sepenuhnya.


Langkah 3: Kemudian, rendam susu yang telah dicairkan itu dalam semangkuk air suam. Elakkan daripada menggunakan air yang terlalu panas kerana boleh mengakibatkannya berketul-ketul.


Langkah 4: Masukkan susu yang sudah cair ke dalam botol susu. Ketika ini, saya akan dapat susu tersebut kelihatan seperti dua lapisan. Jangan risau kerana biasanya lemak yang terkandung dalam susu iu akan terkumpul pada bahagian atas setelah dibekukan. Saya hanya perlu menggoncangkan botol susu secara perlahan supaya susu menjadi sama rata.


Langkah 5: Pastikan susu yang sudah sedia diminum oleh bayi saya mempunyai tahap kepanasan tubuh dan tidak terlalu panas. Untuk mengujinya, titiskan beberapa titik susu pada bahagian lengan belakang tangan. Apabila yakin susu tersebut tidak berapa panas, barulah diberikannya pada anak saya.


Langkah 6: Setelah kenyang menyusu, saya tidak lupa menyendawakan anak saya supaya angin yang terkumpul di dalam perutnya keluar.


Kini, anak perempuan saya sudah berumur sepuluh bulan. Dia sangat sihat dan ceria. Pastinya, segala kasih sayang yang dicurahkan ini akan mendapat hasil yang setimpal, jika tidak dari anak itu sendiri, kejayaan dan kepuasan diri sendiri kerana dapat melaksanakan yang terbaik pasti dikecapi.


(498 patah perkataan)
oleh
Engr. Toh Chee Leong
25.7.2008































No comments: